Apa yang dipaparkan ini merupakan satu pendapat terhadap penglibatan orang Bugis dalam politik Nusantara pada abad ke 18. Setiap fakta atau penceritaan ini berdasarkan kepada hasil kajian sekunder dan pencerahan pensyarahku. Saya meminta maaf andai terdapat kekhilafan, kekurangan fakta dan gaya penulisan yang kurang sempurna. Diharap ada yang sanggup membantu dalam memantapkan pengisahan ini.
Pendahuluan
Orang
Bugis merupakan salah satu kaum yang mendiami Ujung Padang atau Makasar,
Sulawesi Selatan, Indonesia sebelum kurun ke-15 lagi. Orang Bugis mempunyai
sistem pemerintahan tersendiri yang bebas dari pengaruh Hindu dan Buddha. Menurut catatan Tuhfat Al-Nafis, kononnya
orang Bugis ini berhubungkait dengan keturunan Ratu Balkis isteri kepada Nabi
Sulaiman as.[1]Malahan mereka mempunyai sistem pemerintahan yang tersendiri dan silih berganti
bermula dari kerajaan Bone, Makassar, Sopeng serta Wajo dan diakhiri dengan
terkuburnya pemerintahan beraja angkara Order Lama Soekarno.[2]
Diberitakan juga pengislaman orang Bugis bermula dengan Raja Opu La Maddusilat
dan diikuti oleh sekalian rakyat.
Penghijrahan
Keunikan
dan kemahiran orang Bugis dalam bidang maritim, perniagaan dan strategi
peperangan menjadikan mereka satu kaum yang dihormati. Ini kerana sebagai
pelaut dan pedagang segala kemahiran mengenai pengurusan, pengawalan kawasan
serta komunikasi dimiliki dengan baiknya. Malahan sikap tidak takut mati dan
berani kerana benar membuatkan mereka tidak mempunyai masalah mengembara atau
belayar ke kawasan asing. Orang Bugis mempunyai semangat belayar yang dinamakan
sompe dan melalui semangat ini mereka
berani membuka penempatan baru. Ini kerana orang Bugis telah diterapkan dengan
kata-kata ‘di mana perahu sampai, di sana kehidupan ditegakkan’ (kegisi monro sore’ lopie, ko situ tomallabu
sengereng). Setiap orang Bugis perlu melengkapkan dirinya dengan segala
ilmu dan harus merendah diri sebelum berhijrah iaitu ’Jikalau belayar ke negeri
lain, isi dirimu dengan rasa malu, justeru oleh kerana rasa malulah sehingga
seseorang disebut manusia’(narekko
sompe’ko lai mebela ri lipu laingnge, taroi laloialemu siri masaba siri itu
natoria seng tau). Penghijrahan
orang Bugis bukan sahaja kerana berlaku ketidakamanan di tempat asal angkara
sistem autoraktik pemerintah di saat itu atau masalah peribadi (keluarga)
tetapi turut dipengaruhi faktor peperangan. Peperangan demi peperangan dalaman atau luaran seperti peperangan antara Kerajaan Bone dengan Gowa membuatkan kebanyakan orang Bugis berhijrah ke kawasan lain
Penglibatan awal orang Bugis dalam
politik serantau
Dalam membahaskan peranan orang
Bugis dalam politik serantau pelbagai faktor telah dijelaskan sebelum ini.
Namun masih banyak yang perlu dibicarakan dalam mengetahui peranan orang Bugis
terutamanya luar dari konteks kebiasaan. Kebanyakan melihat penglibatan politik orang Bugis
dilihat berdasarkan kisah Kesultanan Johor- Riau sahaja.
Hakikatnya orang Bugis telah lama menglibatkan diri dalam politik nusantara.
Penglibatan orang Bugis dalam politik serantau telah bermula dengan
peranan anak-anak Raja Opu La Maddusilat. Anak yang pertama iaitu Pajung
menjadi raja di negeri Luwu. Diikuti yang kedua iaitu Opu Daeng Biyasa atau
digelar Jayang Seteru Johan Pahlawan sebagai pembesar Bugis di Tanah Jawa.
Sementara anak yang ketiga Opu Daeng Rilaka mengembara ke barat; maka
penglibatan orang Bugis banyak dimulai oleh keturunannya. Walau bagaimanapun penglibatan orang Bugis bermula ketika era Belanda atau VOC lagi. Ianya bermula dengan penglibatan
Arung Palakka bekerjasama dengan Belanda menyerang Kerajaan Makassar,
Minangkabau serta menjatuhkan kerajaan Palembang dan Banten. Seharusnya diingat terdapat juga orang Bugis
seperti orang Wajo dan Maros yang tidak memihak dan bekerjasama dengan Belanda
seperti Karaeng Galesong, Daeng Mangika, La Maddukkelleng, Syeikh Yusoff serta
beberapa pembesar Bugis yang lain. Maka
penglibatan orang Bugis dalam politik serantau perlu dilihat kepada punca
pembabitan mereka. Faktor utama yang diperkatakan ialah etnik Arung Palakka
ialah dari orang Bone yang berdendam dengan orang-orang Wajo dan Maros yang
mendirikan Kerajaan Gowa. Justeru penentangan Arung Palakka
dipengaruhi keazaman menuntut bela dan menjadikan kerajaan Bone kukuh semula.
Maka boleh dikatakan peranan orang Bugis dalam politik serantau dipengaruhi
oleh keinginan memiliki kekuasaan, harta benda dan disulami oleh perasaan
dendam dan cemburu. Selain itu, turut terjadi peristiwa mallek ke dapureng yang
bermaksud memindahkan dapur oleh putera-putera Daeng Macora ke Pontianak,
Kalimantan Barat oleh La Makkuraseng dan La Tenribali, keluarga dan
pengikutnya kerana arahan keluarga lalu menumbuhkan sebuah penempatan di sana . Maka
ternyata perserakan orang Bugis di nusantara berlaku secara sukarela,
keterpaksaan atau atas arahan keluarga. Oleh yang demikian mereka turut membawa
sistem pentadbiran dan pengurusan ke tempat yang mereka tinggal yang baru.
No comments:
Post a Comment